|
FAS Tiada Masalah Bayar Gaji Pemain - Zuraimi |
|
|
|
|
Monday, 28 April 2008 |
KUCHING, 28 April (Bernama) -- Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) hari ini memberi penjelasan bahawa masalah gaji tertunggak tidak pernah timbul pada musim ini memandangkan kesemua pemain dibayar gaji mereka setiap bulan. Pengurus pasukan Sarawak Zuraimi Subki berkata tumpuan utama pihak pengurusan pada musim ini adalah kepada kebajikan pemain dan ini melibatkan soal pembayaran gaji.
"Awak sendiri boleh tanya kepada mana-mana pemain Liga Super Sarawak sekarang sama ada masalah gaji tertunggak masih berlaku pada musim ini," katanya kepada Bernama hari ini sebagai mengulas laporan mengenai gaji pemain Sarawak yang dikatakan pernah tertunggak. Timbalan Presiden FAS, Datuk Richard Riot Jaem hari ini dipetik sebagai berkata FAS pernah terlewat membayar gaji pemain "sebulan dua" namun tidak pernah sampai enam bulan dan ia berlaku pada musim lepas di bawah pengurusan FAS lain. Beliau turut menafikan laporan akhbar iut yang mendakwa gaji pemain bola sepak negeri ini adalah yang terendah dalam Liga Super iaitu antara RM2,000 dan RM5,000 sebulan. "Kami bayar gaji pemain ikut pengalaman pemain berkenaan misalnya gaji pemain Piala Presiden, kami bayar RM2,000 sebulan tetapi bagi gaji pemain tempatan yang berpengalaman ada yang dibayar antara RM4,000 dan RM7,000 sebulan," katanya sambil menjelaskan bahawa gaji pemain import sudah tentu lebih daripada itu. Mengenai tujuh pemain yang dilaporkan digantung, Zuraimi sekali lagi menafikan mereka digantung daripada bermain tetapi direhatkan buat sementara waktu sehingga Badan Pencegah Rasuah (BPR) menyelesaikan siasatan dan mengesahkan kesemua pemain terbabit bebas daripada rasuah. "Mereka direhatkan dan masih menerima gaji bulanan," katanya. Sementara itu tempoh tahanan reman bekas pemain kebangsaan berumur 39-tahun untuk membantu siasatan dakwaan pemain Liga Super Sarawak menjual permainan, dilanjutkan selama empat hari bermula hari ini. Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR) Sarawak Yusof Akope ketika dihubungi Bernama mengesahkan pelanjutan tahanan reman itu setelah tempoh tahanan reman yang bermula Jumaat lepas berakhir hari ini. Sementara itu di PULAU PINANG, Presiden Persatuan Bola sepak Pulau Pinang (FAP), Mohammad Fairus Khairuddin berkata beliau tidak menerima sebarang laporan rasuah yang melibatkan pemain pasukan bola sepak negeri itu. -- BERNAMAOnly registered users can write comments. Please login or register. Add as favourites (10) | Quote this article on your site | Views: 270 | Print | E-mail
Powered by AkoComment Tweaked Special Edition v.1.4.6 AkoComment © Copyright 2004 by Arthur Konze - www.mamboportal.com All right reserved |